Pages

led scroller

Sunday, July 1, 2012

[120701] Fasting Should Not Slow You Down




Adat berpuasa, tubuh yang sebelum ini aktif dan cergas bertukar lesu kerana menahan lapar dan dahaga. Jika sebelum ini cukup masa, perut diisi – senario sepanjang bulan ini tentunya berbeza.

Tiada lagi rutin makan pagi, tengah hari dan petang. Melepasi waktu sahur, sekurang-kurangnya 13 jam perut tidak menjamah makanan hinggalah tiba waktu berbuka.

Pada bulan puasa, diet pemakanan berubah ketara. Pengambilan makanan menjadi lebih berat pada waktu awal pagi dan malam, manakala selebihnya perut dibiar kosong. Perubahan ini tentunya berbeza bagi setiap orang. Ada yang terganggu emosi, letih dan kurang bertenaga. Antara punca keadaan ini mungkin kandungan gula yang rendah atau tekanan darah rendah ketika berpuasa.

Dalam tempoh berlapar ini, tenaga masih diperlukan untuk melakukan aktiviti harian. Andai minda dan fizikal tidak cergas, masalah kelesuanpasti mengganggu kehidupan anda.

Sempena ketibaan Ramadan, XY – Tanya Pakar minggu ini mendekati pakar kecergasan serta chef makanan kesihatan untuk berkongsi tip kekal cergas sepanjang hari.

“Tidak seharusnya ketika berpuasa, aktiviti harian dan cara bekerja berubah hanya kerana kita berasa letih dan lesu”.

“Sepatutnya, kita masih boleh cergas andai arif soal pemakanan yang membolehkan perut dan badan menghasilkan tenaga sepanjang hari,” kata Perunding Kecergasan dan Chef Makanan Kesihatan Corporate Athletes, Arfian Yusof.

Arfian berkata, amat penting untuk kita mengetahui kandungan makanan. Ini bagi memastikan tubuh kekal bertenaga biarpun pada realitinya, minda menahan lapar.
Beliau berkata, menu untuk bersahur tidak terhad kepada nasi semata-mata. Sebaliknya, seseorang itu masih boleh mempelbagaikan makanan seperti roti, manisan dan buah-buahan.

Selain makanan, minuman memainkan peranan penting kerana tubuh badan masih memerlukan air lebih daripada tiga liter sehari untuk kekal sihat.

“Sebaiknya, kita hendaklah bersahur bagi mengelak perut kosong hingga lewat petang. Pengambilan makanan dan menu sampingan adalah penting untuk menghasilkan tenaga dan nutrien dalam badan,” katanya.

Arfian juga menggalakkan aktiviti bersenam diteruskan sepanjang bulan puasa. Bagi beliau, puasa bukan alasan tidak bersukan kerana amalan ini mampu mengekalkan kecergasan badan serta menjamin minda cerdas.

Ditanya amalan diet pada bulan puasa, Arfian menegaskan, amalan itu tidak wajar jika dilakukan terlalu ekstrem sepanjang Ramadan. Ini kerana, katanya, tubuh memerlukan pemakanan seimbang dan berkhasiat sepanjang masa.

Selain memberi tip pemakanan seimbang, Arfian berkongsi senaman ringkas yang boleh dilakukan di pejabat apabila badan berasa letih dan mengantuk.


Bagaimana tubuh kita mampu menahan lapar sepanjang hari pada bulan puasa?

Walaupun kita tidak menjamah makanan dan minuman selama lebih 13 jam sehari, mekanisma tubuh kita mampu bertahan sepanjang tempoh itu. Adalah penting untuk kita makan ketika bersahur iaitu makanan yang mengandungi segala yang diperlukan untuk tenaga badan.


Mengapakah tubuh kita lesu dan letih ketika berpuasa?

Faktor lemah, pening, letih dan tumpuan fikiran kurang baik berpunca daripada kandungan gula dalam darah yang rendah. Elak mengambil terlalu banyak gula iaitu karbohidrat yang diproses terutama pada waktu sahur.  Ini akan menyebabkan badan menghasilkan terlalu banyak
insulin sehingga glukosa darah menurun.


Apakah menu terbaik ketika bersahur?

Selain nasi, pastikan pengambilan makanan yang berprotein seperti ikan,daging, bijirin dan sayur-sayuran yang seimbang untuk menjamin tenaga berkekalan.

Makanlah karbohidrat kompleks dan jenis lambat hadam iaitu bijirin seperti barli, gandum, oat, semolina, kekacang, dal, tepung gandum penuh dan beras perang ketika bersahur. Selain itu, hadkan pengambilan makanan serta minuman bergula.

Apa agaknya menu sesuai pada waktu berbuka?

Umat Islam di Malaysia cenderung menikmati sajian agak berat dan manis ketika berbuka puasa. Untuk fasa pertama Ramadan, pastikan anda menikmati makanan dalam kuantiti yang sepatutnya. Elak kuantiti keterlaluan untuk menjaga perut kosong.

Elakkan juga makanan yang mengandungi glukos tinggi selain makanan terlalu pedas. Sewaktu berbuka, seeloknya dimulakan dengan memakan buah kurma dan air panas.


Bagaimana pula kuantiti makanan yang sesuai diambil ketika berbukapuasa?

Seperti yang saya katakan tadi, usah keterlaluan dalam pengambilan makanan ketika berbuka puasa. Seeloknya, mulakan dengan manisan seperti kurma dan buah-buahan serta minuman sebelum menunaikan solat maghrib.

Biar rehat seketika barulah menjamu menu lebih berat. Jika kita mengambil nasi, pastikan sukatannya dalam skop yang seharusnya selain hidangan lain seperti daging, ikan dan sayur-sayuran diambil dalamkuantiti sepatutnya.

Apakah kita digalak bersenam sepanjang tempoh berpuasa?
Tiada sebab untuk kita menghentikan aktiviti bersenam. Namun, usahlah keterlaluan seperti melakukan rejim latihan yang berat. Ini kerana tenaga pada badan akan lebih cepat hilang serta mengeluarkan banyak peluh.

Waktu ideal untuk melakukan senaman?
Senaman boleh dilakukan dalam tempoh sebelum berbuka atau selepas berbuka. Bagi senaman sebelum berbuka, seeloknya dilakukan sejam sebelum waktu berbuka puasa.
Selain itu, pastikan senaman tidak dilakukan secara keterlaluan kerana tubuh ketika itu lesu. Bagi pilihan kedua, senaman dilakukan sebaik selesai solat terawih. Ini dianggap waktu terbaik kerana glukos pada makanan sudah diserap dalam badan.

Apa pula kesannya andai kita tidak mengambil makanan ketika waktu sahur?


Tidak dinafikan, ramai antara kita tidak bersahur kerana tidak sanggup berjaga malam. Tetapi ada sebab mengapa bersahur bagus untuk memastikan tubuh kekal bertenaga sepanjang hari.

Tidak bermakna menikmati makanan yang banyak boleh menjamin seseorang tidak lapar. Sehubungan itu, amat penting untuk kita mengambil pemakanan seimbang dan kandungan yang diperlukan tubuh.

Orang bujang lazimnya malas memasak dan menyediakan menu untuk bersahur. Mungkin ada alternatif yang boleh anda cadangkan sebagai pengganti nasi?

Idea terbaik ialah bijirin yang tinggi protein dan khasiat. Selain itu, roti tinggi serat dan mentega kacang juga menjadi alternatif sajian ringkas untuk jejaka bujang.

Mereka juga boleh mengambil buah-buahan kering seperti aprikot dan kurma yang mampu memberi sumber vitamin dan tenaga berpanjangan. Bagi minuman pula, sebaiknya minumlah susu.

Apa minuman sesuai ketika berbuka?

Elak mengambil minuman berais ketika berbuka puasa. Pada waktu itu, tubuh kita lesu dan harus dimulakan dengan air suam dan panas. Minuman seperti susu adalah baik untuk memulihkan semula tenaga yang hilang.

Tip  Petua Kesihatan Ramadhan

Elak:
Makanan berlemak dan bergoreng.
Makanan yang mengandungi terlalu banyak gula.
Makan terlampau banyak terutama pada waktu sahur.

Diharuskan:
Karbohidrat kompleks ketika bersahur kerana ia ada dalam perut lebih lama dan tidak cepat lapar.

Minum:
Sebanyak mungkin air atau jus antara berbuka puasa dan tidur supaya badan dapat menukar tahap bendalir dalam masa yang ditetapkan.

Senaman ringkas di pejabat sepanjang Ramadan  TIDAK perlu rutin senaman berat, sebaliknya anda boleh melakukan regangan ringkas di tempat duduk. Ini bagi memastikan badan tidak lesu dan mengantuk ketika berpuasa.

Ikuti empat kaedah ringkas senaman yang boleh diamalkan sepanjang tempoh berpuasa di pejabat.

Regangan tangan  Cengkam kedua-dua belah tapak tangan ke depan dalam posisi lurus. Genggam sekurang-kurangnya 20 saat.

Regangan bahu  Tarik kedua-dua belah tangan ke belakang dan genggam kedua-duanya. Biarkan selama sekurang-kurangnya 20 saat

Regangan kepala  Lenturkan kepala ke kiri dan kanan secara perlahan. Biarkan sekurang-kurangnya 20 saat.
Regangan kaki  Buka lipatan kaki dan tunduk dalam posisi ke bawah. Biarkan tangan mencecah hingga ke lantai. Lakukan proses ini selama 20 saat

Selamat Berpuasa Kepada yang berpuasa,
(+) bulan julai nie, bakal menjelma bulan ramadhan kelak..
Selamat Berpuasa & Selamat Menyambut Bulan Ramadhan 2012



No comments:

Post a Comment

Pingates